Pages

Sunday, 28 December 2014

Bacaan Talkin

Bismillahhirrohamanirrohim..

Maha suci Allah Yang Maha Kuasa lagi kekal tanpa kesudahan. Maha suci Allah yang telah mengaturkan manusia seluruhnya terpaksa menempuh kematian supaya dapat dicuba dan diuji siapakah di antara manusia yang telah mengerjakan amal soleh dan membuat kebajikan,maka segala derma dan hasil dari amalan mereka semunya akan dapat dilihat satu-persatunya pada hari yang ditetapkan Tuhan. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Segala sesuatu yang lain daripada Allah Taala tetap akan rosak dan binasa kerana Allah yang mengatur segala-galanya dan kepada Allah lah akan kembali sekalian kita. Maka berbahagialah sesiapa juga yang terselamat dan terlepas nikmat yang berkekalan di dalam syurga. Segala nikmat dan kesedapan yang bercorak keduniaan hanya sementara waktu sahaja.

Allah menjadikan kamu sekalian daripada tanah, ke dalam tanah pula kamu akan dimasukkan dan daripada tanah juga kamu akan dikeluarkan semula. Allah menjadikan kamu supaya menanggung amanah dan menjalankan kewajipan selama kamu hidup di dunia kemudian dimasukkan kamu ke dalam tanah untuk menjadi  mangsa dan makanan ulat serta cacing yang tidak mengenal kamu siapa dan tidak teragak-agak atau bertempoh-tempoh lagi membaham dam memamah kamu sehingga berkecai dan hancur lebur segala urat dan daging kamu tanpa meninggal sebarang sisa.

Hinggalah Allah memerintahkan malaikat Israfail meniup sangkakala maka dihidupkan kamu semunya dengan serentak dan semasa untuk membawa ke hadapan Mahkamah Rabbul Jalil,di sanalah segala amalan dan pekerjaan kamu diperiksa,buruk dan baiknya semuanya dibicarakan untuk dihukum dengan pembalasan yang setimpal atau diberi ganjaran dengan adil dan saksama.

Aku bersumpah dengan nama Allah Yang Maha Besar,dengan nama Rasulnya Yang Mulia dan di atas agama Islam Yang Maha Suci. Apa yang akan disebutnya ini adalah perkara=perkara yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T dan amatlah benar segala Rasulnya-Rasulnya yang telah menyampaikan janji itu.

Wahai saudara ku Pulan bin Pulan(sebut nama si mayat) wahai saudara ku Pulan bin Pulan, semoga Allah kurniakan kasihan belasnya ke atas saudara,ketahuilah bahawa segala nikmat dan kesedapan dunia telah hilang daripada saudara sekarang,saudara telah masuk ke dalam sempadan akhirat dan tinggal di sini sehingga hari qiamat. Wahai saudara ku Pulan bin Pulan ,janganlah sekali-kali saudara lupakan pengakuan dan perjanjian kita di dunia iaitu Aku naik saksi bahawa tidak ada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu Rasulullah.

Apabila datang dua Malaikat yang ditugaskan memeriksa saudara dengan perintah Allah janganlah saudara gentar dan takut kerana mereka juga makhluk Allah seperti saudara.
 Mereka akan bertanya, siapakah Tuhan yang saudara sembah? Siapakah Nabi saudara? Apakah iktikad dan kepercayaan saudara? Dan atas agama apakah saudara hidup dan mati? Katakanlah kepada mereka,Allah Tuhanku yang sebenar-benarnya,bila ditanya lagi jawablah juga,Allah Tuhanku yg sebenar-benarnya.


    Bila ditanya lagi bagi kali yang ketiga iaitu yang terakhir,maka jawablah dengan lidah yang lancar tanpa takut dan gentar kepada mereka.Allah Tuhanku, Muhammad Rasulullah Nabi ku, Islam Agama Ku, Al Quran pedoman dan ikutan ku, Baitullah Kiblatku,sembahyang kewajipanku, sekalian orang Islam adalah saudara-saudaraku,Ibrahim bapa pada agamaku,hidup dan matiku adalah di atas perkataan :  Laillahaillahallah Muhammadurasullah
   
Ingat dan peganglah bersungguh-sungguh kenyataan dan peasananku ini selama-lamanya,ketahuilah saudara akan berada di Alam Barzah ini sehingga hari kiamat kelak.

  Sekiranya ditanya saudara dari hal Muhammad,maka katakanlah bahawa Muhammad itu adalah pesuruh Allah dan utusannya,yang telah menyampaikan kepada kami segala keterangan-keterangan dan tanda-tanda daripada Allah,maka kami telah beriman dan menurut ajarannya. Setelah selesai pemeriksaan berserahlah diri saudara kepada Allah yang Maha Esa yang memiliki Arash Yang Maha Besar.

  Ketahuilah wahai saudara ku, bahawasanya mati itu benar, memasuki ke liang kubur itu benar, soalan Munkar dan Nakir di dalam kubur itu adalah benar, dibangkitkan manusia untuk diperiksa amalannya itu adalah benar, melalui Titi Siratul Mustaqim balasan nikmat Syurga pembalasan seksa Neraka semuanya benar belaka dan tetap akan berlaku.

  Dan bahawasanya Hari Kiamat tetap akan tiba tanpa syak dan ragu-ragu lagi. Maka Allah akan menghidupkan semula sekalian manusia wahai saudara.
  Selamat tinggal buat selama-lamanya dan kami serahkan saudara kepada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang semoga dicucurinya rahmat dan keampunan ke atas saudara.

  Ya Allah Yang Maha Besar
  Ya Allah Yang Maha Kuasa,
  Ya Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kurniakanlah limpah RahmatMu kepada saudara kami hambaMu ini. Ampunkanlah dosa dan kesalahannya dan ampunkanlah dosa dan kesalahan kami Ya Tuhan Seru sekalian Alam.

  Wahai Saudara!

  Ingatlah pesanan ku yang terakhir,bahawasanya Allah Tuhan kita, Islam satu-satunya agama kita dan Muhammad S.A.W  Rasulullah  Nabi kita. Kepada Allah kami berharap memberi perlindungan kepada mu saudara, mengampuni dosa kesalahan mu,  serta menerima segala  amalan kebajikan yang telah saudara tunaikan,Amin!..............

  Ya Allah Yang Maha Lemah Lembut,Ya Allah Yang Maha Mendengar, terimalah rayuan hambaMu yang lemah ini.


  Kami merayu dengan perasaan yang sedih dan hati yang penuh pengharapan serta berkat kemuliaan RasulMu ,bahawa tidaklah kiranya mayat saudara kami ini diseksa dan diazabkan.

Terkesan Tak?

No comments:

Post a Comment